Hanya ibu bapa boleh buka akaun media sosial anak bawah 16 tahun, kata Fahmi

onlines games
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sekiranya akaun media sosial dikawal ibu bapa, mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka. (Gambar Envato Elements)

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri namun akaun yang dikendali oleh ibu bapa bagi pihak anak mereka adalah dibenarkan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ketetapan itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada risiko keselamatan dalam talian termasuk ancaman pemangsa siber yang berpotensi menghubungi kanak-kanak menerusi pelbagai platform media sosial.

“Isu utamanya ialah siapa yang mengawal akaun tersebut… kita tidak mahu anak-anak yang mengawal akaun itu sendiri… kalau akaun itu dibuka oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka,” katanya pada sidang media Program Sejahtera Madani Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan (ICU JPM Wilayah) Megat Azlani Megat Ramli, Pengurus Cawangan Jalan TAR, Bank Muamalat Malaysia Berhad Fadhil Adnan, warga ICU JPM Wilayah dan komuniti setempat Lembah Pantai.

Fahmi juga berkata kerajaan sedang melaksanakan ‘regulatory sandbox’ atau medan uji bersama dengan platform media sosial untuk mengenakan sekatan umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun baharu.

Beliau berkata pendekatan Malaysia berbeza daripada ‘Model Age Assurance’ yang digunakan di Australia, dengan Malaysia akan memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna.

“Anak-anak masih dibenarkan menonton kandungan seperti di YouTube… cuma mereka tidak boleh membuka akaun sendiri,” katanya.

Fahmi juga berkata ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap aktiviti digital anak-anak dan tidak membiarkan mereka menggunakan peranti tanpa pengawasan bagi tempoh yang terlalu lama.

“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa ada tanggungjawab juga,” katanya.

Author: admin