
PETALING JAYA: Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran sudah menjejaskan laluan perdagangan dengan gangguan susulan dijangka berlaku, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani.
“Bila kapal nak masuk (pelabuhan) tak boleh. Semalam misalnya, berapa banyak penerbangan perlu berpatah balik dan ada tidak boleh diteruskan. Ini antara gangguan kepada ekonomi negara dan dunia,” katanya menurut New Straits Times.
Johari berkata, konflik berlarutan boleh terus menjejaskan aktiviti ekonomi, selain menyatakan kementeriannya juga sedang menilai kemungkinan implikasi terhadap pelaburan asing.
Pengawal Revolusi Iran dilaporkan telah menghantar transmisi yang menyatakan ‘tiada kapal dibenarkan melepasi Selat Hormuz’, yang merupakan laluan eksport minyak paling penting di dunia, menghubungkan pengeluar minyak terbesar Teluk, seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, dan Emiriah Arab Bersatu, dengan Teluk Oman dan Laut Arab.
Serangan ke atas Iran oleh AS-Israel mengakibatkan serangan balas oleh Iran ke atas pangkalan AS di rantau berkenaan.
