
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pihak yang melanggar kontrak tidak boleh dipaksa untuk memohon maaf kepada pihak satu lagi kerana remedi tersebut tidak diiktiraf dalam undang-undang.
Panel tiga hakim berkata seorang pakar perunding bedah ortopedik tidak berhak memperoleh injunksi mandatori supaya Pantai Medical Centre Sdn Bhd (PMC) mengeluarkan surat permohonan maaf susulan penamatan kontraknya secara salah oleh syarikat itu.
Dalam penghakiman bertulis setebal 85 halaman, Hakim Wong Kian Kheong berkata remedi itu tidak tersedia kerana saman berkenaan bukan berasaskan fitnah.
Beliau menjelaskan bahawa satu-satunya punca tindakan pakar bedah itu adalah bersifat kontrak, berpunca daripada penamatan perkhidmatannya secara salah oleh PMC.
“Kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memberikan injunksi mandatori kekal (bagi permohonan maaf). Tiada apa-apa dalam Akta Kontrak 1950 yang memperuntukkan kuasa sedemikian.
“Kami juga tidak mengetahui sebarang kes di Malaysia yang memberikan remedi sedemikian bagi pelanggaran perjanjian semata-mata,” menurut penghakiman itu.
Turut bersidang dalam panel rayuan tersebut ialah Hakim Azizah Nawawi — kini Hakim Besar Sabah dan Sarawak — serta Hakim Azizul Azmi Adnan.
Panel itu turut mengetepikan ganti rugi khas, teladan dan teruk yang diberikan kepada pakar bedah berkenaan atas dakwaan kehilangan reputasi profesional dan tekanan emosi, dengan memutuskan bahawa tuntutan tersebut adalah ‘terlalu jauh’ untuk dibayar ganti.
“Kehilangan reputasi profesional dan tekanan emosi itu tidak timbul secara semula jadi dalam keadaan biasa akibat penamatan perjanjian oleh PMC,” kata Wong dengan merujuk Seksyen 74(1) Akta Kontrak.
Hakim itu menambah bahawa kedua-dua pihak juga tidak boleh secara munasabah menjangkakan kerugian sedemikian ketika membuatw perjanjian tersebut.
Panel berkenaan turut mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kegagalan PMC memperbaharui keistimewaan klinikal pakar bedah itu tidak memberi hak kepada syarikat untuk menamatkan perjanjian tetap tiga tahunnya dengan lebih awal.
PMC, yang memiliki sebuah hospital di Seri Manjung, Perak, telah melantik plaintif sebagai pakar bedah ortopedik residen di bawah perjanjian perunding atas dasar kontraktor bebas.
Hospital itu juga secara bersyarat memberikannya keistimewaan klinikal untuk menjalankan prosedur tertentu.
Pakar bedah tersebut berhujah bahawa penarikan keistimewaan dan penamatan awal perkhidmatannya telah menjejaskan reputasinya serta menghalangnya mendapatkan pekerjaan di hospital swasta lain.
Menurut, beliau terpaksa berkhidmat di sebuah klinik swasta dengan pendapatan yang lebih rendah.
Dalam pembelaannya, PMC mempertahankan keputusannya dengan merujuk kepada aduan pesakit dan dakwaan pelanggaran kod etika kakitangan perubatan. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mendapati dakwaan itu tidak dibuktikan dan kesimpulan tersebut tidak diganggu oleh Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pakar bedah yang mendakwa pendapatan purata bulanan RM85,000 itu hanya berhak menerima pampasan bagi baki lapan bulan kontraknya, dari 29 Julai 2016 hingga 3 Mac 2017.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan agar jumlah ganti rugi dinilai oleh Mahkamah Tinggi.
Peguam N Sivabalah, Fazleeza Azli dan Goh Lee Ding mewakili hospital.
A G Kalidas, Jasmin Anne Raj, Wesley Wong dan Parimalar Ilamaran mewakili pakar bedah berkenaan.
Kalidas berkata beliau telah menerima arahan untuk memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.
