Malaysia Airlines terus gantung penerbangan ke dan dari Qatar, Arab Saudi

Malaysia Airlines extends suspension of flights to and from Qatar, Saudi
Dilaporkan sekitar 55 jemaah umarah terkandas di Jeddah selepas penerbangan asal mereka pada awal pagi Sabtu dibatalkan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah, serta Madinah sehingga 4 Mac 2026, susulan pembatalan yang dilaksanakan bermula 28 Feb hingga 1 Mac.

Menurut syarikat induknya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), ini berikutan penutupan berterusan ruang udara di beberapa bahagian di Timur Tengah di tengah-tengah perkembangan keselamatan serantau yang semakin memuncak.

Namun, penerbangan lain termasuk ke dan dari London dan Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, masih mengikut jadual ditetapkan.

“Semua penerbangan ini beroperasi menggunakan laluan alternatif, jauh dari zon konflik yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

MAG berkata, penumpang sedang dimaklumkan dan diberi bantuan dengan pengurusan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.

“Penerbangan ke destinasi yang terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut mengenai situasi keselamatan.

“Penumpang juga dinasihatkan untuk mengemas kini butiran perhubungan mereka menerusi ‘My Booking’ bagi mendapatkan maklumat terkini yang tepat pada masanya,” katanya, sambil menambah bantuan turut disediakan melalui sokongan Sembang Langsung di laman web, atau hubungi pusat hubungan global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).

Terdahulu, kira-kira 55 jemaah di bawah kendalian sebuah agensi yang menawarkan pakej umrah dilaporkan terkandas di Jeddah selepas penerbangan asal mereka pada awal pagi Sabtu dibatalkan.

Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh susulan serangan pada pagi Sabtu.

Author: admin