Konflik Iran-AS: Rakyat Malaysia di Qatar, UAE kongsi detik cemas

dubai airport diserang
Media Arab dan video tular secara meluas yang menunjukkan kerosakan pada sebuah bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai susulan serangan peluru berpandu.

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang menetap Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menceritakan detik-detik cemas selepas negara itu menjadi sasaran serangan peluru berpandu Iran yang membalas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Mohamad, 43, yang bekerja dalam sektor minyak dan gas di Doha, Qatar berkata keadaan semakin cemas apabila serpihan bom jatuh di kawasan kejiranan mereka hingga ada yang kena pada rumah jiran berdekatan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia kini dalam keadaan trauma dan tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang akan keselamatan keluarganya, lapor Berita Harian.

“Saya benar-benar bimbang sekarang. Gegaran daripada letupan bom menyebabkan tingkap dan dinding rumah pecah.

“Kami juga dapat melihat banyak dron berlegar di ruang udara kawasan sekitar,” katanya yang menetap di sana bersama isteri dan tiga anak.

Seorang rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Hakim berkata beliau bersama keluarganya memilih untuk tidak keluar rumah sehingga keadaan kembali stabil dan selamat.

Hakim yang bekerja sebagai juruterbang di Doha berkata bekalan makanan ketika ini mencukupi dan berharap ketegangan segera berakhir.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Ajman, UAE, Nurul Ain Haron berkongsi detik-detik cemas serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh tepat di tengah bandar itu.

“Tiada bunyi siren, namun dalam sekelip mata keadaan menjadi cemas apabila serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh tepat di kawasan tumpuan pelancong di tengah bandar ini,” katanya.

Nurul Ain, 40, bersama suaminya, warga Palestin, Mohamad Adab Shaat, 36, memberitahu Berita Harian dua serpihan peluru berpandu dilaporkan jatuh di Palm Jumeirah dan City Walk Dubai, sehingga menyebabkan sebuah hotel di kawasan berkenaan terkena serpihan.

“Setakat ini, kehidupan seharian masih berjalan seperti biasa. Tiada arahan perintah berkurung atau bunyi siren amaran di Dubai. Namun, kebimbangan tetap ada apabila mengetahui ada serpihan yang jatuh di kawasan bandar.

“Malah, berita mengenai Burj Khalifa yang terpaksa dikosongkan turut menambahkan lagi kegelisahan dalam kalangan penduduk di sini. Walaupun keadaan terkawal, suasana mencetuskan rasa tidak tenteram,” katanya.

Author: admin