Biar pengguna tetapkan sendiri tahap gula, bukan kerajaan, kata persatuan

air manis sweet drink
Sembilan rangkaian minuman Thai utama baru-baru ini bersetuju untuk mengehadkan separuh daripada kandungan gula yang disenaraikan dalam resipi asal untuk mengurangkan pengambilannya. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Persatuan Francais Malaysia menggesa supaya pengguna dibenarkan menentukan tahap kemanisan minuman mereka sendiri dan bukannya menetapkan perkara itu melalui dasar kerajaan.

Setiausaha Agungnya Khairul Azman Yusoh berkata demikian sebagai mengulas gepada gesaan aktivis kesihatan agar Malaysia mencontohi dasar gula baharu Thailand.

Ditanya sama ada francais tempatan boleh secara bersama-sama bersetuju mengehadkan tahap kemanisan kepada 50% seperti yang dilakukan Thailand, Khairul berkata langkah sedemikian memerlukan kajian pengguna yang rapi serta perundingan menyeluruh dalam industri.

“Jika pengguna mempunyai lebih kesedaran, industri akan bertindak balas terhadapnya,” katanya.

Minggu lalu, Bangkok Post melaporkan sembilan rangkaian minuman, dengan kerjasama kerajaan Thailand, telah memperkenalkan standard baharu bagi tahap kemanisan minuman yang bertujuan mengurangkan pengambilan gula serta menurunkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit.

Di bawah kempen itu, minuman yang dilabel sebagai ‘kemanisan biasa’ kini hanya mengandungi separuh daripada kandungan gula dalam resipi asalnya.

Khairul mengakui kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai obesiti dan mengalu-alukan inisiatif kerajaan seperti cukai minuman bergula (SSB).

Tambahnya, rakyat Malaysia kini lebih peka terhadap kesihatan dan tidak mungkin menolak dasar serupa jika diperkenalkan, namun berkata pelbagai jenama telah pun menyesuaikan diri dengan menawarkan pilihan tahap minuman serta alternatif yang lebih sihat.

“Ini semua berkaitan pilihan pengguna. Sebagai perniagaan, kami tetap perlu menyerahkannya kepada pengguna. Mereka yang membuat keputusan mengenai kesihatan sendiri,” katanya kepada FMT.

Malaysia kini menduduki tempat kedua dalam kalangan negara Asean bagi kadar obesiti dan mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia Tenggara.

Pada Khamis, badan pemikir kesihatan dan aktivis Chan Li Jin menggesa kerajaan mengguna pakai inisiatif Thailand itu, dengan berkata ia boleh membawa perubahan tabiat bagi membantu Malaysia memenangi ‘perang terhadap gula’.

Beliau memberitahu FMT bahawa seorang daripada lima rakyat Malaysia hidup dengan diabetes, dengan hampir separuh tidak didiagnosis dan menyeru kerajaan supaya bertindak tegas.

“Apabila orang ramai tidak mampu membuat pilihan yang betul untuk kesihatan mereka, kerajaan mesti campur tangan,” katanya.

Author: admin