
PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata pelantikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin mengubah hala tuju gabungan itu, dengan kuasa sebenar terus berada pada kepimpinan ulama parti.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Samsuri bakal berdepan pelbagai kekangan walaupun latar belakang profesionalnya sebagai jurutera memberinya imej lebih sederhana berbanding PAS yang konservatif.

Mereka menjelaskan kepimpinan ulama dalam PAS terus mempunyai pengaruh dalam keputusan dan dasar ketua-ketua negeri yang diterajui parti itu.
Azmi berkata keputusan Samsuri juga berpandukan nasihat golongan ulama termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, dan majlis syura.
“Mereka (ulama) pada asasnya mengawal semua menteri besar dari SG4 (negeri ditadbir PAS), jadi tiada beza sama ada Samsuri ialah menteri besar Terengganu atau pengerusi PN.
“Tidak diragui, keputusan akan dibuat oleh ulama,” katanya kepada FMT.
Mazlan yang turut bersetuju, berkata golongan profesional dalam PAS sekadar memainkan peranan pelengkap dalam parti itu.

“Walaupun berstatus profesional, kedudukan Samsuri tidak akan mengatasi ulama dalam PAS yang bertemakan ‘kepimpinan ulama’. Pembuat keputusan sebenar dalam PAS ialah ulama,” katanya.
Pada 22 Feb, Samsuri diumumkan secara rasmi menggantikan bekas perdana menteri dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai pengerusi PN.
Muhyiddin yang meletak jawatan pada awal tahun ini akan berkhidmat sebagai timbalan pengerusi PN, manakala Hadi berundur daripada Majlis Tertinggi PN tetapi kekal dalam majlis presiden.
Berbeza dengan ramai tokoh politik Malaysia yang lantang, Samsuri dikenali sebagai seorang yang berperwatakan tenang dan berhemah.
Latar belakang profesional serta rekod pentadbiran cemerlang, termasuk kemenangan besar PAS di Terengganu pada PRN 2023, mengukuhkan reputasi Samsuri sebagai teknokrat dihormati bukannya pejuang ideologi yang radikal.
Mazlan berkata kedudukan Samsuri kekal sebagai ‘orang bawahan’ dan sukar membuat keputusan sendiri tanpa dibayangi tokoh dominan dalam PAS dan PN.
“Saya fikir Samsuri tidak mempunyai kebebasan penuh untuk membuat keputusan apabila berdepan dengan tokoh seperti Hadi, Muhyiddin, Sanusi Nor, Takiyuddin Hassan, Mursyidul Am PAS dan lain-lain lagi.
“Beliau perlu mempertimbangkan pandangan senior sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
