
PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak menyeru Sabah dan Sarawak mengukuhkan perpaduan dan bersatu demi memperjuangkan hak kedua-dua negeri itu menjelang PRU16.
Beliau berkata pada PRU akan datang, bukan soal siapa yang menjadi perdana menteri tetapi tentang sama ada Borneo mahu berpecah atau bersatu sebagai rakan setara dalam persekutuan.
Katanya, jika dicampur Sabah, Sarawak dan Labuan mempunyai 57 kerusi Parlimen, dan dalam PRU yang sengit, jumlah itu boleh menentukan siapa membentuk kerajaan persekutuan.
“Untuk membentuk kerajaan, perlu 112 kerusi. Jika tiada pihak menang besar, Borneo boleh menjadi penentu.
“Tetapi angka sahaja tidak cukup. Kekuatan sebenar datang apabila Sabah dan Sarawak bersatu dan mempunyai agenda bersama yang jelas,” katanya di Facebook.
Katanya lagi, di Semenanjung Malaysia, politik semakin banyak berkisar tentang isu kaum, agama dan persaingan ideologi termasuk soal kerjasama antara parti, malah perbahasan sering lebih kepada identiti daripada dasar untuk rakyat.
Menurutnya di Sarawak, keadaannya lebih mudah kerana kebanyakan parti adalah parti tempatan, manakala di Sabah, keadaannya lebih kompleks dan memerlukan formula yang sesuai serta boleh diterima untuk menjaga kepentingan negeri.
“Sabah dan Sarawak perlu kekal tenang dan fokus. Keutamaan kita ialah kestabilan, pembangunan, pelaksanaan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), perkongsian hasil yang adil dan pengukuhan hak negeri.
“Dalam keadaan tidak menentu, perpaduan bukan soal emosi. Ia adalah strategi dan mungkin satu-satunya kekuatan yang kita ada,” katanya.
