
KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat menjadi indikator jelas kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata melalui RUU itu, kuasa pengurusan dan kawal selia buangan terjadual di darat serta dalam perairan negeri diberikan kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
“Melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63), perkara berkenaan melalui proses rundingan terperinci, penelitian perundangan serta penyelarasan dasar sebelum diterjemahkan dalam bentuk pindaan undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata agenda pemerkasaan MA63 ialah proses berterusan dan pindaan RUU itu adalah antara kisah kejayaan dalam memperkasa hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah pimpinan Kerajaan Madani.
Katanya perkara itu antara 29 tuntutan MA63 yang diteliti melalui pelbagai platform rundingan termasuk MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Semalam, persidangan Dewan Rakyat meluluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dengan sokongan majoriti.
