
PETALING JAYA: Sebuah penerbangan Malaysia Airlines berpatah balik ke Kuala Lumpur dan sebuah lagi dilencong ke Chennai semalam susulan nasihat keselamatan berkaitan kawasan konflik.
Penerbangan MH160 dari Kuala Lumpur ke Doha berpatah balik ke KLIA, manakala MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah dilencong ke Chennai sebelum kembali semula ke KLIA, lapor Bernama.
Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata tindakan itu dilaksanakan selaras dengan protokol lencongan kawasan konflik yang ditetapkan susulan nasihat keselamatan dan ‘peningkatan risiko ruang udara’.
“Penumpang yang terjejas sudah dibantu dengan pengaturan penerbangan alternatif dan penginapan hotel, sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan nasional itu menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan tertinggi.
Katanya, syarikat itu akan terus memantau rapi situasi terkini dan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat dan dipercayai.
