
PETALING JAYA: Malaysia Airlines membatalkan penerbangan ke dan dari Qatar serta Arab Saudi hari ini dan esok susulan serangan udara bersama Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Lima penerbangan yang dibatalkan hari ini membabitkan MH160 ke Doha, MH156 ke Jeddah, MH158 ke Madinah, MH159 dari Madinah dan MH161 dari Doha.
Penerbangan MH164/MH165 dari Doha dan MH157 dari Jeddah untuk esok turut dibatalkan.
Tetapi, penerbangan MH4 ke London dan MH20 ke Paris hari ini diteruskan mengikut jadual kerana ia beroperasi di laluan alternatif merentasi Afghanistan, jauh dari zon konflik terjejas.
Syarikat induknya, Malaysia Aviation Group, berkata pembatalan penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.
“Penumpang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif, jika perlu.
“Penerbangan ke destinasi terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut ke atas situasi keselamatan,” katanya dalam kenyataan.
Penumpang terjejas boleh mendapatkan bantuan melalui sokongan sembang langsung di laman web syarikat penerbangan atau hubungi 1-300-88-3000 (dalam Malaysia) atau 03-7843-3000 (luar Malaysia).
Malaysia Airports menasihatkan pengembara bahawa gangguan tidak terhad kepada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Walaupun penerbangan melalui titik transit alternatif di luar rantau itu, perkhidmatan seterusnya ke destinasi terjejas mungkin digantung atau dihadkan.
“Pengembara perlu mengesahkan status keseluruhan perjalanan mereka, termasuk sektor penghubung, sebelum membuat aturan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Malaysia Airlines memaklumkan penerbangan MH160 ke Doha berpatah balik ke KLIA, manakala MH156 ke Jeddah dilencongkan ke Chennai sebelum kembali ke KLIA.
