
PETALING JAYA: Polis percaya dua lelaki yang terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta, Perak semalam hingga menyebabkan salah seorang daripada mereka lemas, terbabit dengan kegiatan mencuri kabel.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 malam Jumaat itu, seorang daripad suspek berjaya diselamatkan anggota bomba sementara seorang lagi masih hilang, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis pada mulanya menerima laporan mengenai kejadian kecurian kabel sebelum dimaklumkan mengenai insiden lemas berhampiran lokasi sama.
Katanya, susulan laporan itu polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang terselamat bagi membantu siasatan.
“Operasi mencari dan menyelamat rakannya berusia 32 tahun masih dijalankan oleh bomba,” katanya.
Menurutnya, insiden itu disedari pihak pengurusan empangan selepas pemeriksaan rakaman CCTV mengesan dua lelaki berada di dalam air di bawah empangan berketinggian kira-kira 9m.
