
PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera kes seorang kanak-kanak didakwa dicampak ke parit oleh bapanya di Saratok, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.
Menurutnya, petugas pelindung kanak-kanak telah menziarahi kanak-kanak perempuan enam tahun itu yang kini dirawat di hospital.
“Kes masih dalam siasatan polis dan bapa mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menurut Bernama Program Ramadan Prihatin di Masjid Darul Hana, Markas Pangkalan Polis Marin Wilayah 5 di Kuching.
“Difahamkan, ibu bapa mangsa dalam proses perceraian dan dijadualkan ke mahkamah Isnin ini. Mahkamah akan memutuskan hak penjagaan sementara kanak-kanak itu selepas meneliti situasi keluarga terbabit.”
Beliau berkata, JKM akan terus memantau perkembangan kes itu dan bersedia mengambil langkah sewajarnya.
“Sekiranya tiada penjaga sesuai, kanak-kanak itu boleh diletakkan bawah jagaan JKM. Bagaimanapun, kita percaya mungkin ada ahli keluarga lain berkelayakan dan boleh membantu menjaga mangsa.”
Ketua Polis Saratok, Mathew Manggie dilaporkan berkata, ibu mangsa yang menyaksikan kejadian Rabu lalu itu membuat laporan polis dan suspek 43 tahun yang dipercayai bawah pengaruh dadah ditahan keesokannya.
