Undang-undang anti-lompat parti halang usaha Hamzah, kata penganalisis

Walaupun dipecat, Hamzah Zainudin masih mempunyai sokongan yang kuat dalam Bersatu tetapi Muhyiddin Yassin masih ada kelebihan dari segi institusi, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Undang-undang anti-lompat parti mungkin menjadi penghalang kepada usaha Hamzah Zainudin untuk menarik lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu yang sehaluan dengannya menyertai sebuah parti politik baharu, kata seorang penganalisis.

Dipecat dua minggu lalu, bekas timbalan presiden Bersatu itu mendakwa mendapat sokongan 18 Ahli Parlimen, terdiri daripada lima yang dipecat serta 13 lagi yang masih kekal dalam parti.

Beliau dilaporkan bakal mengambil alih sebuah parti kecil menjelang PRU16.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

Bagaimanapun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata 13 Ahli Parlimen Bersatu itu ‘secara efektif terikat’ daripada menyertai parti baharu oleh satu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 49A — sering dirujuk sebagai undang-undang anti-lompat parti — memperuntukkan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang meletak jawatan atau terhenti keahlian parti, atau yang dipilih atas tiket sesuatu parti kemudian menyertai parti lain, akan hilang kerusi secara automatik.

Namun, kekosongan tidak berlaku jika seseorang ahli itu dipecat oleh parti.

“Mereka yang belum dipecat tidak boleh sekadar lepas keahlian dan menyertai parti baharu Hamzah tanpa mencetuskan PRK serta mempertaruhkan kerjaya mereka.

“Ini memberi kelebihan kepada Muhyiddin Yassin kerana beliau boleh ‘mengawal’ Ahli Parlimen ini dalam Bersatu walaupun kesetiaan mereka telah beralih arah,” katanya kepada FMT.

Hamzah dan beberapa yang lain dipecat daripada Bersatu awal bulan ini susulan krisis kepimpinan dengan Muhyiddin. Beliau kemudiannya mengisytiharkan perang terhadap Muhyiddin, menyifatkan dirinya sebagai ‘musuh nombor satu’ bekas perdana menteri itu.

Syaza berkata ‘kekaburan strategik’ — kekal secara rasmi dalam Bersatu sambil memberi isyarat penjajaran politik dengan Hamzah — mungkin pilihan jangka pendek terbaik bagi 13 Ahli Parlimen tersebut.

“Ini membolehkan mereka mengelakkan pengaktifan undang-undang anti-lompat parti sambil mengekalkan pilihan masa depan.”

Beliau juga berkata pengaruh Hamzah setakat ini lebih bersifat politik, dengan Muhyiddin masih memegang kelebihan dari segi institusi.

“Sehingga sokongan itu diterjemahkan kepada Ahli Parlimen yang boleh menyertai beliau secara sah, keupayaan Hamzah untuk membentuk semula blok pembangkang kekal terhad.”

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata penubuhan parti baharu akan berdepan cabaran besar bukan sahaja kerana undang-undang anti-lompat parti, tetapi juga dinamika pilihan raya di negara ini.

Katanya, walaupun undang-undang itu menghalang Ahli Parlimen Bersatu daripada menyertai parti lain, parti baharu juga sukar untuk berdaya saing dalam sistem pilihan raya yang banyak memihak kepada dua gabungan besar.

“Sebuah lagi parti Melayu baharu hanya menyebabkan medan lebih sesak dan persaingan merebut undi Melayu lebih sengit,” katanya, sambil menambah Hamzah dan pemimpin Bersatu yang menyokongnya mungkin mempunyai prospek lebih baik jika menyertai Umno berbanding membina parti baharu dari bawah.

Mazlan Ali.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kedudukan Muhyiddin kekal rapuh walaupun beliau dilihat mempunyai kelebihan dari segi institusi.

“Muhyiddin hanya mendapat sokongan enam Ahli Parlimen berbanding 18 yang bersama Hamzah,” katanya, sambil menambah ahli Bersatu yang sehaluan dengan Hamzah akan terus menjadi dilema kepada Muhyiddin.

Mazlan berkata kesetiaan mereka kepada gerakan politik Hamzah bermakna tindakan mereka boleh merumitkan keadaan bagi Muhyiddin dan juga Bersatu.

Author: admin