Tambah waktu matematik tak memadai tanpa pedagogi sesuai, kata ahli akademik

pelajar sekolah rendah murid sekolah rendah
KPM umum waktu pengajaran dan pembelajaran matematik akan ditingkatkan daripada 576 jam kepada 608 jam bagi tempoh enam tahun sekolah rendah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Langkah meningkatkan waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) matematik mulai tahun depan perlu diselari pendekatan pedagogi sesuai di bilik darjah, kata ahli akademik.

Rose Amnah Abd Rauf menyifatkan peningkatan daripada 576 jam kepada 608 jam bagi tempoh enam tahun sekolah rendah sebagai perkembangan positif.

Namun, tegas bekas ketua Jabatan Pendidikan Matematik & Sains Universiti Malaya itu, pertambahan 32 jam tidak memberi kesan jika fokus pengajaran kekal seperti sekarang.

“Jika tambahan ini untuk membantu murid memahami dan mengaplikasikan matematik dalam menyelesaikan masalah sebenar, ia memberi faedah besar.

“Tetapi, jika hanya menghabiskan silibus dan latih tubi demi keputusan peperiksaan, ia sekadar menambah beban serta tekanan kepada guru dan murid,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata waktu PdP matematik akan ditingkatkan kepada 3.5 jam seminggu bagi Tahap 1 dan tiga jam seminggu bagi Tahap II dan Tahap III.

Ketika ini, Malaysia merekodkan PdP matematik sekitar 576 jam yang mengikut laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 sebagai paling rendah berbanding Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.

Rose menegaskan isu sebenar bukan semata-mata jumlah jam, sebaliknya pendekatan pedagogi yang diguna pakai di bilik darjah.

Menurutnya, cabaran utama guru adalah memilih kaedah sesuai untuk murid cemerlang dan lemah yang mempunyai tahap penerimaan berbeza.

“Pendekatan ‘one shoe fits all’ tidak lagi relevan. Guru perlu melaksanakan pembelajaran berbeza, sama ada dari segi bahan, pendekatan atau persekitaran pembelajaran, mengikut tahap dan ‘pace’ murid,” katanya.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, pula berkata banyak kajian ilmiah menunjukkan tempoh pembelajaran lebih panjang boleh meningkatkan penguasaan murid.

“Memang ada kajian mengesahkan semakin lama masa pembelajaran matematik, penguasaan boleh jadi lebih baik tetapi ia sangat bergantung kepada kualiti pengajaran guru,” katanya.

Beliau menegaskan, pertambahan masa mesti disertai langkah memperkukuh kualiti guru, khususnya di Tahap 1 sekolah rendah.

“Guru matematik mesti yang benar-benar opsyen matematik. Tidak wajar guru subjek lain mengajar matematik. Penekanan kepada kualiti guru adalah kunci kejayaan dasar ini,” katanya.

Beliau mengingatkan dasar pendidikan tidak boleh dibuat secara ‘ad hoc’, sebaliknya memerlukan perancangan menyeluruh serta penyelarasan antara guru, pentadbir sekolah, jabatan pendidikan negeri dan KPM.

“Walaupun ada masa panjang dan guru yang baik, jika silibus tidak sesuai atau tidak menjawab keperluan murid, ia tetap tidak berkesan. Silibus mesti dirancang berperingkat dari hari ke minggu ke bulan supaya pembelajaran berterusan dan sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi, Yunus Yasin menyifatkan pertambahan waktu matematik sebagai langkah wajar sejajar keperluan masa depan murid, namun berpendapat peningkatan sekitar 2% atau 32 jam masih belum mencukupi.

“Matematik bukan sekadar kemahiran kerja, tetapi kemahiran hidup asas seperti membaca dan menulis. Cara pengajaran sangat penting kerana pedagogi yang salah boleh menyebabkan pelajar menjadi lemah,” katanya.

Author: admin