
PETALING JAYA: Umno Kedah membidas Menteri Besar Kedah Sanusi Nor susulan melabelkan laporan Indeks Perpaduan Nasional 2025 sebagai ‘tolol’.
Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata kajian berkenaan dibangunkan melalui metodologi jelas dan analisis profesional.
“Kajian tersebut dibangunkan melalui metodologi yang jelas, pengumpulan data lapangan serta analisis profesional.
“Ia bukan tulisan media sosial, bukan pandangan politik pembangkang, dan bukan retorik pentas ceramah. Ia adalah dapatan berasaskan penyelidikan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Umno Kedah hairan apabila sebuah kajian rasmi diperlekehkan hanya kerana hasilnya tidak memuji pentadbiran negeri.
“Umno Negeri Kedah merasa hairan apabila sebuah kajian rasmi boleh diperlekehkan secara sembrono hanya kerana hasilnya tidak memuji pentadbiran negeri. Adakah setiap dapatan yang tidak memihak kepada kerajaan negeri akan terus dianggap tidak bernilai?” katanya.
Beliau turut menyeru sebarang kelemahan dalam kajian dijawab secara ilmiah dan terbuka.
“Jika ada kelemahan dalam kajian tersebut, jawab dengan hujah ilmiah. Bentangkan data tandingan. Kupas metodologi secara terbuka. Itulah cara seorang pemimpin yang yakin mempertahankan pendiriannya bukan dengan label, tetapi dengan fakta,” katanya.
Terdahulu, Sanusi dilaporkan menolak dapatan Indeks Perpaduan Nasional 2025 dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara yang meletakkan Kedah di tangga tercorot dengan skor 0.593, jauh di bawah purata nasional 0.701.
Menurut laporan, beliau menyifatkan kajian itu sebagai ‘tolol’ dan tidak berpijak di bumi nyata, selain tidak menolak kemungkinan wujud unsur ‘sabotaj politik’ yang mahu memburukkan imej negeri.
Mengulas lanjut, Shaiful berkata menolak kajian semata-mata kerana tidak selari dengan naratif sendiri bukan tanda kekuatan kepimpinan.
Menurutnya, menyerang dapatan kajian tanpa usaha memperbaiki keadaan hanya mencerminkan kegagalan menerima realiti.
“Apabila seorang pemimpin memilih untuk menyerang kajian daripada memperbaiki keadaan, masalahnya bukan pada kajian tetapi pada pentadbiran yang gagal menerima cerminan dirinya sendiri,” katanya.
