
PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan penyalahgunaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kegiatan ‘mafia korporat’, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan itu.
“Berhubung dakwaan penyalahgunaan SPRM untuk manfaat korporat, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari.
Fahmi berkata Kabinet memandang serius perkara itu dan telah mengambil maklum gesaan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.
“Kabinet akan meneliti laporan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh peguam negara dan mempertimbangkan tindakan susulan, termasuk keperluan menubuhkan RCI,” katanya.
Beliau turut memaklumkan jawatankuasa khas kerajaan yang menyiasat dakwaan berkaitan pegangan saham Azam Baki kini berada di peringkat akhir siasatan dan dijangka menyerahkan laporannya minggu depan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengkritik tindak balas Putrajaya terhadap dakwaan berkenaan sebagai tidak mencukupi, sambil menyatakan menteri-menteri DAP akan terus mendesak penubuhan RCI.
Sebuah laporan Bloomberg mendakwa beberapa pegawai SPRM terlibat dalam satu ‘mafia korporat’ yang menyediakan khidmat intimidasi, termasuk serbuan, bagi memberi tekanan kepada eksekutif perniagaan supaya menjual pegangan saham mereka.
Bagaimanapun, Azam menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, selain menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat supaya membuat laporan polis.
Dalam laporan Bloomberg yang berasingan, Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat.
Beliau juga didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 dari segi nilai, mengikut mana yang lebih rendah.
Azam menafikan sebarang salah laku dan telah memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg, menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta.
