
PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen RM20 bilion kepada kerajaan pada 2026 berdasarkan kemampuannya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
“Lembaga pengarah baru sahaja meluluskannya, dan jumlah itu masih dalam kemampuan kami selepas menilai keperluan untuk pertumbuhan dan pelaburan semula kami selain membayar pinjaman dan memastikan terdapat peruntukan mencukupi bagi operasi dalaman,” katanya memetik Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas Group bagi tahun kewangan 2025, di Kuala Lumpur.
Bagi tahun kewangan 2025, lembaga pengarah Petronas telah meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM32 bilion susulan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM41.6 bilion.
“Bagi capex, panduan yang kami tetapkan dalam tempoh lima tahun akan datang secara purata berjumlah RM45 bilion hingga RM50 bilion bergantung kepada fasa projek yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Petronas merupakan penyumbang utama kantung kerajaan dengan menjana berbilion ringgit hasil tahunan.
Syarikat minyak dan gas nasional itu membayar dividen RM32 bilion pada tahun lalu, dengan pembayaran terendah dalam tempoh sedekad yang lalu adalah sebanyak RM16 bilion pada kedua-dua tahun 2016 dan 2017.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tidak boleh terlalu bergantung kepada dana Petronas. Anwar, yang juga merupakan menteri kewangan, berkata kerajaan perlu ‘menerima hakikat’ dengan pengurangan pembayaran dividen tersebut.
