Peningkatan taraf hidup, pendapatan pekebun kecil kekal agenda utama

Noraini Ahmad
Menteri Noraini Ahmad arah semua agensi KPK pastikan penyampaian subsidi dan bantuan dibuat pantas, telus dan tanpa karenah. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Peningkatan taraf hidup dan pendapatan pekebun-pekebun kecil kekal menjadi agenda nombor satu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menteri Noraini Ahmad berkata tumpuan tidak seharusnya terhad kepada graf KDNK, nilai eksport berbilion ringgit atau syarikat perladangan berskala besar, apabila membincangkan sektor pertanian dan perladangan komoditi.

“Pihak yang paling utama dan menjadi nadi kepada rantaian sektor ini adalah pekebun-pekebun kecil. Nasib mereka sentiasa dekat di hati saya.

“Peningkatan nilai eksport tiada maknanya jika tidak dirasai oleh pekebun kecil di kampung-kampung,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan KPK.

Noraini dilantik menjadi menteri perladangan dan komoditi sejak 17 Dis lalu menggantikan Johari Ghani yang kini memegang portfolio pelaburan, perdagangan dan industri.

Dalam pada itu, Noraini berkata, antara langkah penting ialah intervensi kerajaan melalui inisiatif sokongan seperti pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani.

Beliau berkata melalui bantuan bersasar seperti Budi Madani, kerajaan menyediakan jaringan keselamatan secara langsung supaya anak-anak pekebun kecil dapat terus bersekolah dan kebun-kebun diselenggara dengan baik walaupun berdepan ketidaktentuan cuaca atau harga komoditi.

Noraini turut mengarahkan semua agensi bawah KPK memastikan penyampaian subsidi dan bantuan dibuat secara pantas, telus dan tanpa kerenah birokrasi yang boleh menyulitkan golongan sasar.

“Ini dari peringkat tertinggi sehinggalah ke kumpulan pelaksana,” katanya.

“Hubungan antara menteri, pengurusan tertinggi, dan warga kerja tidak seharusnya dibina atas dasar takut atau hierarki yang jumud.”

Author: admin