
PETALING JAYA: Guru besar di Pitas, Sabah, dikenakan denda RM32,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memalsukan dokumen dan lapan pertuduhan bersubahat dalam pemalsuan dokumen.
Hakim Elsie Primus memerintahkan Abd Rasad Sadikir, 57, menjalani hukuman penjara tiga tahun sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.
Rasad didenda RM16,000 atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bantuan kerajaan di pejabat Kementerian Kewangan Sabah, antara April dan Julai 2021.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau turut didenda RM16,000 lagi atas lapan pertuduhan bersubahat dengan seorang kontraktor mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran pembekalan peralatan sekolah.
Beliau dituduh melakukan kesalahan terbabit antara Oktober dan Disember 2018 di pejabat sekolah berkenaan, mengikut Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 471, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
