
PETALING JAYA: Na’imah Abdul Khalid, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin terkejut dengan laporan polis difailkan seorang individu yang mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Beliau dalam kenyataan mendakwa laporan polis itu difailkan oleh seorang individu yang pernah menawarkan khidmatnya sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi pada Julai 2025.
Menurutnya, individu berkenaan kemudiannya ditamatkan perkhidmatan susulan prestasi kerja yang tidak memuaskan, sebelum bertindak membuat tuntutan kewangan lanjut.
“Jelas sekali ini adalah tindakan seorang individu yang tidak berpuas hati,” katanya yang turut mempersoalkan kandungan laporan itu yang didakwa palsu dan tidak masuk akal.
Beliau turut mempersoalkan mengapa laporan itu dibuat tujuh bulan selepas pertemuan didakwa berlaku.
Awal hari ini, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata Bukit Aman sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu yang tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa yang didakwa terbabit dalam usaha itu.
Dalam laporan polis yang kini tersebar luas di media sosial, ahli keluarga berpengaruh didakwa telah melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom bagi memberi tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa.
Laporan itu turut mendakwa firma UK berkenaan mempunyai keupayaan mempengaruhi dasar negara serta hala tuju isu-isu tertentu melalui rangkaian pelobi.
SPRM dalam kenyataan selepas itu pula berkata pihaknya sedang mengesan empat anak Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.
Dalam pada itu, Na’imah turut menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai ‘melucukan’ dan tidak masuk akal.
Beliau juga mempersoalkan logik dakwaan kerajaan boleh dijatuhkan melalui bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam.
“Jika itu caranya, sudah tentu banyak kerajaan Malaysia sebelum ini telah bertukar ganti berkali-kali,” katanya sambil menegaskan mendapatkan nasihat profesional dalam bidang perhubungan awam bukan satu jenayah.
Dakwaan itu timbul susulan laporan berita Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mendedahkan asetnya secara terbuka.
Azam menafikan dakwaan itu dan telah menyaman Bloomberg bagi ganti rugi berjumlah RM100 juta.
Dalam artikel berasingan, Bloomberg mendakwa satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan bagi memberi tekanan kepada pengurusan syarikat supaya menjual saham dalam syarikat sasaran.
SPRM menafikan dakwaan itu.
Na’imah, 67, sedang berdepan pertuduhan di mahkamah kerana gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
