Mahkamah kekal keputusan fraud berkait umrah terhadap pemimpin Umno, 2 lain

kl high court
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan mahkamah bawahan ke atas Ketua Umno Kangar Fathul Bari Mat Jaya dan dua individu lain.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak rayuan tiga pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat pelancongan yang kini tidak lagi beroperasi, termasuk seorang pemimpin Umno bahagian, dengan memutuskan bahawa mereka telah melakukan fraud apabila enggan memulangkan kira-kira RM500,000 yang dikutip daripada jemaah umrah.

Hakim Leong Wai Hong menyatakan bahawa dapatan Mahkamah Sesyen adalah bersandarkan fakta selepas mendengar semua saksi.

“Mahkamah rayuan tidak seharusnya campur tangan dalam dapatan tersebut tanpa alasan munasabah,” katanya ketika menolak rayuan mereka bertiga, daripada syarikat Rehla Travel Services Sdn Bhd.

Perayu — Ketua Umno Kangar Fathul Bari Mat Jaya, Sekh Fazzli Sekh Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff — memfailkan rayuan susulan ke Mahkamah Rayuan.

Leong menyifatkan kes ini sebagai menyedihkan, yang mana ketamakan mengatasi keperluan kerohanian pelanggan KRS Travel Sdn Bhd, yang membuat bayaran untuk perjalanan ibadah ke Mekah.

Beliau berkata ketiga-tiga perayu mengaku menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi dan tidak memulangkan, serta telah membuat representasi palsu kepada KRS.

Hakim juga mengambil maklum bahawa trio tersebut kemudian memohon untuk membatalkan nama Rehla daripada daftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menambah permohonan bawah Seksyen 550 Akta Syarikat itu dibuat untuk menghalang KRS daripada meneruskan tindakan undang-undang terhadap Rehla.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa mereka bertiga melakukan fraud, dengan penghakiman berjumlah RM492,480 memihak kepada KRS.

Menurut fakta kes, Rehla beroperasi sebagai syarikat agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan aktiviti berkaitan. Ia juga merupakan ejen tiket bagi Malaysia Airlines Bhd (MAB) sejak 2019.

Pada Februari 2020, KRS menggunakan khidmat Rehla untuk mencari dan membeli tiket penerbangan ke Madinah dan Jeddah bagi pelanggannya yang ingin menunaikan umrah ke Mekah.

KRS membayar RM492,480 kepada Rehla bagi tujuan tersebut. Sebagai ejen tiket MAB, Rehla kemudian membayar syarikat penerbangan itu untuk pembelian tiket berkenaan.

Lantaran pandemik Covid-19, tiket yang dibeli oleh KRS dibatalkan oleh MAB. Rehla juga menghentikan operasi dalam tempoh tersebut.

Syarikat penerbangan itu kemudian membayar kira-kira RM1.3 juta kepada Rehla sebagai penyelesaian, termasuk RM492,480 yang dibayar oleh KRS.

KRS menegaskan bahawa RM492,480 daripada jumlah yang dibayar kepada Rehla sepatutnya dikembalikan kepada pelanggannya, iaitu para jemaah.

Bagaimanapun, tiga pengarah Rehla tersebut berpendirian bahawa Rehla hanya ejen tiket bagi MAB dan KRS sepatutnya membuat tuntutan secara terus dengan syarikat penerbangan tersebut.

Author: admin