FAM didenda RM4,900 lewat hantar permohonan lulus aksi persahabatan

logo FAM
Ini kes keempat membabitkan kesalahan sama oleh FAM menyebabkan ia didenda AFC. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) USD1,250 (RM4,900) atas kelewatan menghantar permohonan kelulusan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2.

Harian Metro melaporkan Jawatankuasa Tatatertib AFC mengumumkan keputusan itu Rabu lalu.

Ia membabitkan aksi persahabatan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Timor Leste pada 9 Nov 2025.

Ini kes keempat membabitkan kesalahan sama oleh FAM menyebabkan ia didenda AFC.

Selain FAM, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Persatuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA) dan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) turut didenda kerana lewat menghantar permohonan kelulusan perlawanan antarabangsa Tier 2.

NSFC yang ketika itu dibimbing Nidzam Jamil menewaskan Timor Leste 2-1 dengan dua gol dijaringkan penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Author: admin