Caprice arah peguam fail saman terhadap Rafizi

caprice and rafizi ramli
Caprice kata saman yang difailkannya menuntut ganti rugi RM10 juta, permohonan maaf, dan injunksi terhadap Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice, mengumumkan beliau hari ini mengarahkan peguam memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

“Saya difahamkan oleh peguam saya bahawa proses penyerahan saman akan dilakukan keesokan hari,” menurut kenyataan.

Katanya, tindakan ini dibuat kerana Rafizi tidak meminta maaf kepadanya, susulan hantaran di laman sosial Rafizi, berkenaan dakwaan Caprice berhubung suatu kes rasuah.

Caprice sebelum ini mendesak Rafizi meminta maaf, dan menurunkan hantaran-hantaran media sosial berkenaan dakwaan Rafizi bahawa Caprice telah memfitnahnya.

Rafizi sebelum itu menafikan beliau terbabit dalam kes rasuah membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat.

Menurut Caprice, saman yang difailkannya menuntut, antara lain, ganti rugi sebanyak RM10 juta, permohonan maaf dan injunksi terhadap beliau.

Beliau juga berharap nama baiknya dapat dibersihkan melalui saman ini.

Pada 21 Feb lalu, Rafizi berkata beliau akan meneruskan saman terhadap Caprice kerana tidak memohon maaf berhubung kandungan yang dimuat naik oleh Caprice, yang disifatkan menuduh Rafizi mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat.

Sebelum itu, pada 17 Feb, Rafizi menjawab tuduhan terhadap beliau semasa di Kementerian Ekonomi, berkisar dua dasar utama kerajaan iaitu Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara.

Bekas menteri itu menegaskan kedua-dua dasar utama kerajaan itu telah melalui pelbagai proses kelulusan peringkat kerajaan.

Perkembangan itu menyusuli laporan media bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka kertas siasatan berhubung perjanjian antara kerajaan dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Author: admin