
PETALING JAYA: Menukar ketua pembangkang sekarang akan memberi gambaran Perikatan Nasional tidak stabil, kata Pemuda PAS di sebalik desakan Bersatu yang mahu bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin digantikan.
Ketua Penerangan Khairul Nazir Helmi mengingatkan pendesak bahawa soal kepimpinan itu boleh dimuktamadkan secara teratur selepas sidang Dewan Rakyat, yang berbaki dua hari lagi.
“Beberapa rang undang-undang dan pindaan penting sedang dan akan dibahaskan. Dalam tempoh kritikal ini, menukar ketua pembangkang hanya akan memberi gambaran bahawa pembangkang tidak stabil, sekali gus melemahkan kekuatan hujah dan penyelarasan di Dewan,” katanya dalam kenyataan.
Khairul berkata Pemuda PAS memberi kepercayaan penuh kepada pengurusan Perikatan Nasional baharu untuk meneliti dan memutuskan perkara ini secara matang demi kestabilan gabungan.
“Kita perlu tahu apa yang mesti didahulukan. Keutamaan ketika ini ialah mempertahankan hak rakyat dalam perbahasan Parlimen, bukan polemik jawatan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, R Sanjeevan, mendedahkan Bersatu sudah menghantar surat rasmi supaya Hamzah digantikan susulan pemecatan beliau pada 13 Feb lalu, namun “PAS masih membisu”, “masih berlengah”, dan “masih berpura-pura seolah-olah tiada apa berlaku”, katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kelewatan melantik ketua pembangkang baharu kerana PAS selesa menjaga kepentingan politik sendiri.
Sanjeevan turut menyoal apakah pengerusi PN baharu, Ahmad Samsuri Mokhtar, “takut jadi ketua pembangkang”.
Majlis tertinggi PN pada Ahad setuju PAS mengambil alih jawatan itu, namun Timbalan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat akan datang.
Beliau yang juga setiausaha agung PAS berkata partinya memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu.
Kedudukan Hamzah menjadi tidak menentu sejak dipecat Bersatu akibat perebutan kepimpinan dalaman dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Hamzah sebelum ini dilantik sebagai ketua pembangkang selepas kerajaan perpaduan dibentuk, hasil cadangan PAS, walaupun ketika itu Muhyiddin masih menjadi pengerusi PN.
