Mahkamah Rayuan lepas kerajaan dalam kes kecuaian siaran filem di RTM

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan mendapati tiada penilaian ganti rugi dibuat dengan betul.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membebaskan kerajaan daripada tanggungjawab dalam saman kecuaian difailkan sebuah syarikat pengedar filem susulan penyiaran filem Hindi popular ‘Boss’ oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) lapan tahun lalu.

Hakim Evrol Mariette Peters berkata Supreme Broadcast International Sdn Bhd tidak mengemukakan sebarang bukti untuk membuktikan dakwaan kerugian sebanyak USD30,000.

Menurutnya, syarikat itu hanya menuntut semula kos asal dibayar bagi mendapatkan hak pengedaran filem berkenaan, sedangkan kaedah itu tidak diiktiraf sebagai asas tuntutan ganti rugi dalam kes kecuaian.

Beliau berkata demikian ketika panel tiga hakim membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Panel tersebut dipengerusikan Hakim Zaini Mazlan bersama Alwi Abdul Wahab.

Dalam alasan penghakimannya, Peters menjelaskan tiada penilaian ganti rugi yang dibuat secara sewajarnya dalam kes ini.

Mahkamah turut mengarahkan Supreme Broadcast membayar kos sebanyak RM50,000 kepada kerajaan, sambil menegaskan kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan atau kecuaian RTM.

Kerajaan diwakili oleh peguam kanan persekutuan Siti Aishah Ramlan dan peguam persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli, manakala Supreme Broadcast diwakili peguam Ravinder Singh Sodhi dan DC Chan.

Supreme Broadcast sebelum ini menandatangani perjanjian selama lima tahun pada 2013 dengan sebuah syarikat berpangkalan di Dubai untuk mendapatkan hak pengedaran filem Boss di Malaysia dan Brunei pada harga USD30,000.

Dalam pembelaannya, RTM menyatakan ia tidak pernah berurusan dengan Supreme Broadcast berkaitan filem tersebut dan tidak menerima sebarang notis yang mewujudkan tanggungjawab berhati-hati (duty of care).

Bekas ketua pengarah Jabatan Penyiaran, Abu Bakar Ab Rahim, memberi keterangan bahawa RTM memperoleh hak siaran melalui kontrak sah dengan Film Station Production Sdn Bhd, dan filem itu disiarkan pada 28 Ogos 2018, jam 10 malam di RTM2.

Supreme Broadcast mendakwa ia telah menghantar notis kepada RTM mengenai hak pengedaran eksklusifnya dan RTM cuai kerana tidak menyemak kesahihan tuntutan tersebut.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menerima hujah itu, memutuskan bahawa notis berkenaan serta urusan lampau antara kedua-dua pihak telah mewujudkan tanggungjawab berhati-hati yang kemudian dilanggar.

Bagaimanapun, Peters berkata panel Mahkamah Rayuan sebulat suara tidak bersetuju dengan dapatan itu.

Menurutnya, hakikat bahawa Supreme Broadcast pernah menjual hak siaran filem lain kepada RTM sebelum ini tidak secara automatik mewujudkan hubungan rapat bagi semua filem lain di pasaran.

Beliau menambah, walaupun RTM menerima notis tersebut, ia tidak mencukupi untuk mewujudkan tanggungjawab berhati-hati.

“Tanpa wujudnya tanggungjawab berhati-hati, isu pelanggaran dan ganti rugi tidak timbul,” katanya.

Peters turut menegaskan RTM menyiarkan filem Boss berdasarkan kontrak yang sah dengan Film Station.

Author: admin