Jawatankuasa Parlimen sokong RUU asing peranan peguam negara-pendakwa raya

william leong
Pengerusi JPKP William Leong cadang obligasi pendakwa raya diperuntukkan secara jelas, dan memperkenalkan kod etika melalui undang-undang.

PETALING JAYA: Rang undang-undang (RUU) melibatkan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya harus disokong, menurut Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi
Parlimen.

Berhubung pelantikan pendakwa raya yang dicadangkan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara baginda atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, Pengerusi William Leong berkata struktur itu meletakkan proses pelantikan dalam kerangka perlembagaan yang profesional dan terinstitusi.

“Mekanisme penamatan melalui tribunal bebas pula menyediakan perlindungan institusi yang selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” tambah Ahli Parlimen Selayang ini, menurut kenyataan selepas jawatankuasa itu menyemak RUU ini.

Beliau menzahirkan sokongan penuh jawatankuasa kepada matlamat dan objektif RUU ini, dan mencadangkan aspek kebertanggungjawaban diperhalusi dengan lebih jelas dan tuntas.

Ia mencadangkan RUU itu memperuntukkan secara jelas obligasi pendakwa raya dalam undang-undang kepada Parlimen, dan memperkenalkan kod etika yang diperuntukkan secara khusus melalui undang-undang.

“Pengukuhan ini selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan memastikan keyakinan awam terhadap integriti institusi pendakwaan terus terpelihara, tanpa menjejaskan kebebasan fungsi pendakwaan yang menjadi teras kedaulatan undang-undang,” katanya.

Ia juga menyeru kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan lanjut bagi memperkukuh mekanisme kebertanggungjawaban pendakwa raya melalui sebuah jawatankuasa pilihan khas (JKPK), agar kerangka perundangan yang diusahakan benar-benar mencerminkan prinsip semak dan imbang yang berkesan.

“Sokongan ini berasaskan pertimbangan institusi dan prinsip perlembagaan, selaras dengan peranan jawatankuasa sebagai mekanisme semak dan imbang yang bebas serta tidak berpihak,” katanya.

Pada Selasa, 10 Ahli Parlimen PKR meminta kerajaan merujuk RUU berkenaan ke JKPK Parlimen untuk penelitian terperinci.

Mereka berhujah draf semasa berisiko menumpukan kuasa kepada terlalu sedikit pihak, khasnya perdana menteri, yang dikatakan mempengaruhi pelantikan ke SPKP. Kata mereka lagi, tiada peranan formal Parlimen dalam melantik dan memecat pendakwa raya.

Mereka menambah sokongan Ahli Parlimen terhadap RUU itu bergantung pada kesediaan kerajaan mempertimbangkan cadangan mereka.

Sementara itu, Leong berkata jawatankuasa turut menyokong penuh kepada RUU melibatkan pengenalan had tempoh jawatan perdana menteri.

Beliau berkata RUU tersebut memperkenalkan had kuasa yang jelas, tegas dan berperlembagaan; manakala peruntukan kesinambungan pentadbiran memastikan tiada kekosongan kuasa, dengan membenarkan fungsi terhad diteruskan sehingga pelantikan perdana menteri baharu.

“Reka bentuk ini menunjukkan keseimbangan yang cermat antara pembaharuan had kuasa dan keperluan kestabilan kerajaan,” katanya.

Kedua-dua RUU tersebut melibatkan pindaan Perlembagaan dan memerlukan majoriti 2/3, atau sekurang-kurangnya 148 undi daripada 222 ahli Dewan Rakyat, untuk diluluskan.

Author: admin