Tiba masa PAS main peranan nasional lebih penting, kata Samsuri

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PAS tidak lagi boleh berpuas hati hanya dengan menjadi jaguh kampung, jika mahu memainkan peranan nasional lebih dominan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar berkata tiba masa PAS memainkan peranan nasional lebih besar, merujuk kekuatan pilihan raya parti itu dan perubahan landskap politik.

Menurutnya, keputusan PRU 2022 menunjukkan PAS muncul kuasa dominan di Parlimen, mengatasi semua parti lain dengan memenangi 43 kerusi.

“PAS lebih besar daripada DAP, yang sebahagian besarnya kekal statik. Evolusi PAS stabil berbanding parti lain dan ini kali pertama PAS mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling banyak,” katanya dalam podcast ‘Lebih Masa’ yang dihoskan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR.

Naib presiden PAS itu berkata, komposisi Parlimen ini memberi isyarat parti Islam berkenaan tidak lagi patut memainkan peranan sekunder dalam PN, selepas berada di bawah bayangan Bersatu sejak penubuhan gabungan terbabit.

“Tentunya kami melihat sudah sampai waktu dan ketikanya kami memainkan peranan lebih penting. Nak jadi apa jadilah. Tapi peranan penting dalam pembentukan negara kita.

“Sebelum ini, mungkin kita berada (dalam peranan) membantu…kita bersama, kita memperkuatkan. Tapi sekarang ini, kita boleh lihat (PAS) dengan komposisi Ahli Parlimen dan Adun paling besar.”

Ditanya bagaimana PAS berhasrat meyakinkan demografi masih skeptikal – termasuk bukan Islam, pengundi di Sabah dan Sarawak serta sebahagian masyarakat Melayu – Samsuri berkata, parti itu perlu bermuhasabah dan menyesuaikan pendekatannya.

“Saya rasa sudah melalui fasa yang berikutnya untuk berdepan dengan masyarakat berbagai kaum dalam negara kita ini, sama ada Sabah dan Sarawak.”

Samsuri yang juga menteri besar Terengganu berkata, PAS perlu lebih terbuka dan menonjol jika mahu berjaya di peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, parti Islam itu tidak lagi boleh berpuas hati dengan hanya menjadi “jaguh kampung” jika ingin memainkan peranan nasional lebih dominan.

“Kalau nak jadi jaguh sebenar, kita perlu tampil ke depan, tak boleh bertanding di kampung sendiri saja. Kalau nak bersaing di peringkat negeri, persekutuan atau antarabangsa, kita perlu hadapi realiti (masyarakat majmuk Malaysia).

“Sudah tentu, kita mempunyai rancangan dan strategi jelas tentang cara berdepan dengan masyarakat berbagai kaum yang sangat kompleks. Itulah sifat sebenar negara kita. Kita tidak dapat mengelak.”

Samsuri dilantik menerajui PN Ahad lalu, selepas kebuntuan hampir dua bulan berhubung jawatan itu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Timbul spekulasi parti komponen bukan Melayu PN, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia membantah PAS mengambil alih jawatan pengerusi gabungan itu, tetapi Samsuri akhirnya dilantik ke jawatan itu sebulat suara oleh Majlis Presiden serta Majlis Tertinggi PN.

Author: admin