Sistem ‘1 tawaran’ akan diperkenal elak pertindihan ke matrikulasi, universiti

zambry kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, berkata mekanisme gred bagi program matrikulasi dan asasi, serta peperiksaan STPM kekal tidak berubah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan memperkenalkan sistem seragam ‘satu saluran, satu tawaran’ bagi kemasukan ke program matrikulasi dan universiti awam bagi mengelak pertindihan tawaran kepada pelajar.

Menteri Zambry Abdul Kadir, pemohon akan menerima satu sahaja tawaran berdasarkan keputusan terbaik mereka di bawah sistem berkenaan.

“Sebelum ini permohonan dibuat menerusi sistem ‘single window’, namun tiada mekanisme ‘single offer’, menyebabkan ada pelajar menerima lebih daripada satu tawaran pengajian.

“Dengan pelaksanaan sistem ini, pelajar yang memohon hanya akan menerima satu tawaran berdasarkan keputusan terbaik dan sistem meritokrasi yang ditetapkan. Tiada lagi isu pelajar mendapat dua tawaran berbeza,” katanya di Dewan Rakyat.

Zambry berkata demikian menjawab Azli Yusof (PH-Shah Alam), yang bertanya mengenai penyelarasan kurikulum dan penilaian antara program matrikulasi dan asasi dengan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau menjelaskan, mekanisme gred bagi ketiga-tiga laluan itu juga akan kekal tidak berubah.

Menjawab Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai rancangan memindahkan pengurusan program matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan ke kementeriannya, Zambry berkata langkah terperinci sedang dirangka, merangkumi aspek perundangan, kebajikan, kewangan, kakitangan, sistem, dan aset.

Beliau berkata, proses pemindahan berkenaan akan diperhalusi satu jawatankuasa pemandu bersama yang ditubuhkan kedua-dua kementerian bagi program Tingkatan Enam dan matrikulasi, dengan sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Author: admin