‘Sabotaj politik’, Sanusi tak percaya indeks perpaduan Kedah corot

Sanusi Nor
Sanusi Nor cabar pihak yang meragui tahap keharmonian di negeri Jelapang Padi lihat sendiri realiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Kedah.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menolak laporan Indeks Perpaduan Nasional 2025 yang meletakkan negeri itu di tangga tercorot.

Menyifatkan kajian yang memberikan skor 0.593 kepada Kedah sebagai ‘tolol’ dan tidak berpijak di bumi nyata, Sanusi tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj politik oleh pihak tertentu yang mahu memburukkan imej negeri di mata pelabur antarabangsa.

“Saya tak percaya kepada dapatan tersebut. Tengoklah angka-angka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) kalau nak tahu tentang kemasukan pelabur.

“Kedah mencatatkan pelaburan antara tiga negeri tertinggi sejak 2020 dan menjadi yang tertinggi dalam sektor pembuatan di seluruh negara beberapa tahun berturut-turut. Apa lagi bukti yang dimahukan?” katanya kepada FMT.

Beliau turut mencabar pihak yang meragui tahap keharmonian di negeri Jelapang Padi itu melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum di sana.

“Datanglah duduk di Kedah, tengok sendiri bagaimana kami menguruskan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu antara semua kaum yang ada di sini…Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli dan lain-lain. Semua baik-baik saja,” katanya.

Sanusi mengulas laporan Kementerian Perpaduan Negara semalam yang menyaksikan Kedah mencatatkan skor terendah iaitu 0.593, jauh di bawah purata nasional 0.701.

Enam lagi negeri dan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan skor bawah purata nasional adalah Perak dengan 0.648, Kelantan (0.654), Kuala Lumpur (0.659), Selangor (0.675), Pulau Pinang (0.692) dan Putrajaya (0.693).

Dapatan kajian yang turut membabitkan 9,448 responden pelbagai etnik itu menunjukkan faktor etnisiti menjadi defisit sosial paling dominan pada kadar 60.3%, diikuti faktor media dengan sebanyak 57.2%, politik dan federalisme (56.9%), agama (56.7%) dan kelas sosial (47.5%).

Lima lagi faktor defisit sosial yang turut dilihat untuk menilai persepsi responden adalah pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender dan ruang bandar – desa.

Author: admin