Dalang sindiket palsu visa, pasangan Bangladesh dilarang masuk selamanya ke Malaysia

barang rampasan
Barang rampasan termasuk pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen disyaki palsu serta peralatan digunakan dalam sindiket berkenaan. (Gambar JIM)

PETALING JAYA: Sindiket ‘David Lawrence’ mendalangi pemalsuan visa antarabangsa tumpas susulan penangkapan suami isteri warga Bangladesh oleh Imigresen Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Imigresennya, Marina Habibon, berkata sindiket itu menawarkan visa palsu ke negara Eropah dengan bayaran mencecah RM20,000 bagi setiap dokumen.

“Kejayaan ini adalah hasil operasi risikan selama tiga bulan. Sindiket tersebut didalangi oleh pasangan suami isteri warganegara Bangladesh berusia lingkungan 30-an dan dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh.

“Dokumen pelanggan akan dihantar ke Malaysia melalui kurier antarabangsa sebelum dipalsukan dan digunakan bagi tujuan perjalanan ke negara Eropah.”

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, serbuan dilaksanakan pada 10 Feb di sebuah kediaman di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang dijadikan markas operasi.

“Hasil serbuan, Jabatan telah merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen yang disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba serta pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut.”

Menurutnya, pada 23 Feb, kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan.

“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM112,000.

Namun, selepas gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 45 bulan.

“Selepas selesai menjalani hukuman, kedua-dua mereka akan dihantar pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya,” katanya.

Author: admin