
PETALING JAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menafikan kebocoran dana dalam pengurusan projek pembangunan MyDigital ID di bawah Mimos Berhad.
Beliau mengakui penemuan ketua audit negara bahawa RM28.13 juta dibelanjakan tanpa kelulusan untuk projek MyDigital ID, sebahagian inisiatif Identiti Digital Negara (IDN).
“Kementerian mengakui perbelanjaan untuk projek di bawah IDN mesti disahkan jawatankuasa diberikan mandat, seperti dinyatakan dalam surat bertarikh 12 Dis 2023.
“Perbelanjaan projek IDN dibentangkan kepada jawatankuasa pemandu dan teknikal IDN pada Februari 2024, dan kedua-dua jawatankuasa itu mengakui perbelanjaan berkenaan.
“Pada bulan berikutnya, projek IDN diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 1 di Dewan Rakyat.
Beliau mengaitkan kelemahan tadbir urus dalam LKAN dengan kekeliruan yang timbul daripada perubahan terhadap struktur jawatankuasa membawa kepada “ketidakselarasan” dalam proses pelaksanaan dan membuat keputusan projek tu.
“Tetapi, kementerian ingin menekankan tiada kebocoran dalam pengurusan atau perolehan (projek).”
LKAN yang dibentangkan di Parlimen semalam mendapati wujud kelemahan kawalan dalaman projek MyDigital ID, ketidakpatuhan terhadap struktur kos diluluskan dan perbelanjaan tidak selaras dengan tujuan dimaksudkan.
Ia mendedahkan RM14.09 juta daripada perbelanjaan operasi projek diperoleh daripada peruntukan bagi pembangunan. Daripada jumlah itu, RM13.10 juta (atau 93%) dibelanjakan untuk emolumen, manakala RM0.85 juta digunakan bagi kos sumber.
Chang mengakui dana pembangunan tidak sepatutnya digunakan untuk menampung kos operasi di bawah Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“MyDigital ID Sdn Bhd, anak syarikat Mimos ketika itu, membentangkan perbelanjaan projek IDN, termasuk emolumen dan perolehan aset dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal IDN pada 6 Sept 2024 yang kemudiannya disahkan dalam mesyuarat 25 Okt 2024.
“Sebagai sebahagian usaha penambahbaikan berterusan, kementerian akan memastikan pengurusan semua projek masa depan disusun dan selaras mandat diberikan.”
Menurutnya, syarikat itu sedang memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk menampung kos operasi, termasuk emolumen.
