
KUALA LUMPUR: Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) setakat ini hanya beri kesan kepada syarikat-syarikat negara itu yang beroperasi di Malaysia dan bukannya perniagaan tempatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata berdasarkan makluman daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), tarif 19% di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS
dikenakan terhadap syarikat negara itu yang berdagang dan melabur di Malaysia.
“Setakat tinjauan kita, hampir tiada tarif itu dikenakan kepada syarikat Malaysia yang berdagang atau melabur di AS. Tarif itu dikenakan kepada syarikat AS yang beroperasi dan berdagang di negara kita,” katanya pada sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai kerugian yang dialami syarikat Malaysia berikutan pelaksanaan tarif berkenaan.
Beliau berkata strategi perdagangan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump adalah untuk memberi tekanan kepada syarikat negara itu supaya melabur di AS dan bukannya di negara luar.
“Strateginya adalah memaksa syarikat tersebut kembali melabur di AS, bukan di negara luar,” katanya.
Malaysia dan AS memeterai perjanjian perdagangan timbal balas semasa Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Perjanjian itu mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Bagaimanapun, pada Sabtu, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam melaksanakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.
