Rujuk RUU asing AG, pendakwa raya ke jawatankuasa Parlimen, kata 10 wakil rakyat PKR

rafizi ramli
(Dari kiri) Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Wong Chen (Subang), Hassan Karim (Pasir Gudang), Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan S Kesavan (Sungai Siput) antara 10 wakil rakyat PKR mengadakan sidang media di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Sepuluh Ahli Parlimen PKR meminta kerajaan merujuk rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian terperinci.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 tidak patut dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana membawa implikasi meluas.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu mendapat maklum balas dan input merentas parti daripada Ahli Parlimen untuk memperhalusi pindaan Perlembagaan dicadangkan itu,” katanya dalam sidang media bersama di Parlimen.

Beliau berkata, draf semasa berisiko menumpukan kuasa kepada terlalu sedikit pihak, khasnya perdana menteri, yang dikatakan mempengaruhi pelantikan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Menurutnya, suruhanjaya itu boleh mengesyorkan calon dan memulakan prosiding penyingkiran, manakala pendakwa raya menikmati perlindungan Perlembagaan.

Sidang media itu turut dihadiri Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Hassan Karim (Pasir Gudang), Onn Abu Bakar (Batu Pahat), S Kesavan (Sungai Siput) dan Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Kumpulan Ahli Parlimen itu turut mencadangkan tempoh perkhidmatan pendakwa raya dipendekkan daripada tujuh tahun kepada empat tahun atas alasan ia berisiko menumpukan terlalu banyak kuasa dalam satu jawatan.

Antara kebimbangan lain yang dibangkitkan ialah tiada peranan formal Parlimen dalam melantik dan memecat pendakwa raya.

Rafizi berkata, sokongan Ahli Parlimen terhadap pindaan itu yang memerlukan majoriti dua pertiga, bergantung kepada kesediaan kerajaan mempertimbangkan cadangan mereka.

“Kami tidak menolak RUU itu sepenuhnya, tetapi menuntut ia diteliti sebaik-baiknya,” katanya sambil menambah RUU itu tidak patut “diluluskan secara paksa” tanpa rundingan lebih terperinci.

Nik Nazmi berkata, kritikan mereka tidak bermotifkan politik.

RUU mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya dibentangkan untuk bacaan pertama semalam.

Ia bagi meminda enam perkara dalam Perlembagaan Persekutuan dan memperkenalkan dua peruntukan baharu mewujudkan jawatan pendakwa raya sebagai kedudukan Perlembagaan berasingan, dengan memindahkan kuasa pendakwaan yang kini terletak pada peguam negara kepada pemegang jawatan bebas.

Author: admin