Rahim Tamby Chik letak jawatan ketua Bersatu Melaka

Rahim Thamby Chik
Bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik berkata peletakan jawatan itu dibuat atas prinsip pertanggungjawaban moral dan politik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Melaka, Rahim Thamby Chik melepaskan jawatan ketua Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Beliau turut melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ahli Jawatankuasa Pengukuhan Parti.

“Keputusan ini dibuat atas prinsip pertanggungjawaban moral dan politik,” katanya dalam kenyataan.

Perkembangan itu menyusul beberapa pemimpin Bersatu Melaka meletak jawatan, termasuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

Rahim berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa parti di peringkat pusat serta mengambil kira suara dan aspirasi akar umbi.

Susulan itu, katanya, Jawatankuasa bahagian, Pemuda, Wanita, Srikandi Muda, Bersekutu serta semua cawangan di bawah pentadbiran lima bahagian Melaka dibubarkan serta-merta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebulat suara dan sukarela susulan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti didakwa semakin terhakis.

Pembubaran itu membabitkan bahagian Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilantik pengerusi Perikatan Nasional sambil berharap kepimpinan baharu dapat memperkukuh gerak kerja gabungan itu.

Bersatu ketika ini berdepan kemelut dalaman susulan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpinnya, termasuk pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden parti itu.

Author: admin