PM setuju timbang pelepasan perolehan dana ATM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM di Wisma Perwira, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim setuju mempertimbangkan pelepasan perolehan dana Angkatan Tentera (ATM) bagi perbelanjaan operasi pasukan keselamatan itu.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata perkara itu dimaklumkan Anwar yang juga menteri kewangan dalam pertemuan bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM di Wisma Perwira, hari ini.

“Perdana menteri memaklumkan beliau memahami soal kesiagaan dan operasi yang perlu diteruskan dan keputusan untuk membekukan perolehan perlulah dibuat secara berhati-hati yang pada akhirnya tidak menjejaskan operasi dan kesiagaan.

“Beliau bersetuju supaya perkara-perkara seperti itu boleh dipertimbang dan dikecualikan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu sempena program Ihya’ Ramadan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Malek Razak Sulaiman.

Pada 16 Jan lalu, Anwar mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan polis yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertingginya.

Pada masa sama, Khaled berkata perdana menteri turut menekankan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus serta menyokong usaha Kementerian Pertahanan memperkasa tadbir urus khususnya dalam aspek perolehan.

“Selain itu, perdana menteri juga memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan ATM sebagai satu kemestian berasaskan perubahan geopolitik semasa, sama ada di rantau ini mahupun di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga perdana menteri memberi penekanan terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota tentera termasuk penyediaan rumah lebih selesa.

Author: admin