
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah mempersoalkan struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya masih kabur sehingga rakyat tidak pasti pembuat keputusan dalam gabungan itu.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Suhaizan Kaiat berkata keadaan semasa memperlihatkan beberapa figura utama memegang peranan berbeza dalam PN, sehingga menimbulkan persoalan mengenai struktur kepimpinan sebenar.
Menurut Suhaizan, Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin masih kekal ketua pembangkang walaupun Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai pengerusi PN manakala Presiden Muhyiddin Yassin pula masih dilihat tokoh utama gabungan itu.
“Gabungan bercita-cita mentadbir negara tidak boleh mempunyai kepimpinan yang kabur sehingga rakyat sendiri tidak pasti siapa yang membuat keputusan dan siapa yang bertanggungjawab.

“PN perlu menjelaskan perkara itu secara terbuka jika mereka benar-benar mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia untuk mentadbir negara,” kata Ahli Parlimen Pulai itu dalam kenyataan.
Beliau turut membangkitkan pelantikan Samsuri atau dikenali sebagai Dr Sam sebagai pengerusi PN, dengan menyatakan rakyat berhak mengetahui sama ada beliau benar-benar memimpin gabungan itu atau sekadar menjadi wajah sederhana kepada kuasa sebenar.
“Apakah peranan sebenar (Presiden PAS) Hadi Awang dalam menentukan hala tuju PN hari ini? Jika keputusan sebenar dibuat di tempat lain dan oleh individu lain di luar struktur rasmi, maka rakyat berhak mengetahui siapa sebenarnya yang memegang kuasa,” katanya.
Suhaizan berkata PN juga dilihat tidak jelas dari segi pendirian dasar, khususnya berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.
“PN sering mengkritik langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup, namun masih belum jelas apakah pendekatan ekonomi menyeluruh yang akan mereka laksanakan bagi mengawal harga dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Dalam isu fiskal dan pengurusan kewangan negara, PN kerap mempertikaikan dasar kerajaan tetapi belum mengemukakan model alternatif yang lengkap,” katanya.
