
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan ambil keputusan terburu-buru untuk membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani 26 Okt tahun lalu, selepas tarif import diperkenal Presiden Donald Trump dibatalkan Mahkamah Agung negara itu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meminta semua pihak memberi ruang dan masa untuk kerajaan meneliti serta membuat keputusan termasuk melihat soal kepentingan dan implikasinya kepada ekonomi negara
“Jadi mengapa kita nak terburu-buru kerana Mahkamah Agung AS putuskan tiga hari lalu…hari ini kita kena ikut keputusan mahkamah agung.
“Saya tak setuju. Apa pun keputusan kita kena teliti pertama pertahankan kepentingan negara dulu. (Seterusnya) apa kepentingan ekonomi dan perdagangan kita,” katanya pada sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian rasmi terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan Trump sebagai tidak sah.
Rosol juga meminta Anwar menjelaskan apakah implikasi terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.
Selain itu, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) turut meminta kerajaan membatalkan perjanjian ART dengan AS yang disifatkan tidak sah susulan keputusan mahkamah agung negara itu.
Ahad lalu, Anwar berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan membentangkan laporan terperinci mengenai tarif timbal balik AS kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini.
Pada Sabtu, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam melaksanakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.
Malaysia dan AS memeterai perjanjian perdagangan timbal balas semasa Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Perjanjian itu mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Sementara itu, Anwar berkata beliau bersetuju supaya kerajaan menilai semula perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak boleh mengambil keputusan segera kerana perlu meneliti perkembangan dan implikasi keputusan eksekutif AS, terutama ke atas hubungan dua hala Malaysia-AS yang bernilai RM367.5 bilion.
Dalam pada itu, Anwar mempertahankan keputusan kerajaan dan bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Tengku Zafrul Aziz yang menandatangani ART dengan AS.
Anwar berkata, keputusan awal dibuat itu sudah mengambil soal kepentingan negara.
“Kita adalah negara dagang dan dalam peruntukan itu boleh pertahankan termasuk peruntukan menjamin keselamatan dan ekonomi negara. Itu cukup jelas.
“Kalau lihat sistem di AS, penafsiran mahkamah agong iaitu kuasa itu mengenakan tarif adalah kuasa kongres. Jadi kita tunggu dulu,” katanya.
