Hamzah saman Redzuan, tuntut ganti rugi RM100 juta

Hamzah Zainudin berkata kenyataan Redzuan Yusof telah mencalarkan imejnya dalam Bersatu dan di kalangan rakyat.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap pengasas Bersatu Redzuan Yusof berhubung dakwaan beliau menggerakkan enam Ahli Parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2023.

Saman itu difailkan Hamzah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Jan lalu menerusi Tetuan Siddiq Azani & Co dengan menamakan Redzuan selaku defendan.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan diperoleh FMT, Hamzah selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.

Beliau juga menuntut Redzuan menarik balik kenyataan selain memohon maaf terbuka tanpa syarat melalui media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu, mengikut terma dipersetujui pihaknya.

Hamzah mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataannya diterbitkan di Berita Harian pada 5 Nov 2025 yang dianggap palsu, berniat jahat dan mencemar reputasinya sebagai ketua pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu.

Menurut Hamzah, Redzuan antara lain mendakwa beliau mendesak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan, menggerakkan enam Ahli Parlimen dari parti itu menyokong Anwar Ibrahim dan mensabotaj parti sehingga kumpulan itu digelar ‘6 Jahanam’.

Mereka terdiri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Hamzah berkata kenyataan itu membawa maksud beliau seorang pemimpin tidak setia, tidak bermoral, tidak beretika serta mengkhianati mandat parti dan pengundi, sekali gus mencalar imej dan kredibilitinya di mata ahli Bersatu serta rakyat.

Menurutnya, penyiaran kenyataan itu secara meluas melalui akhbar dan pelbagai platform digital menyebabkan beliau menjadi sasaran kecaman, kebencian dan penghinaan, serta menjejaskan keyakinan parti dan rakyat terhadap peranannya sebagai ketua pembangkang.

Terdahulu, Hamzah menghantar surat tuntutan permohonan maaf kepada Redzuan yang juga bekas menteri pada 6 Nov.

Namun, firma guaman Tetuan Cheah Teh & Su yang mewakili Redzuan dalam jawapan sehari selepasnya menafikan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu mengeluarkan kenyataan terbabit.

Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu dipecat daripada parti itu pada 13 Feb lalu.

FMT telah menghubungi Redzuan untuk mendapat maklum balas.

Author: admin