2 mengaku tak salah menyamar polis, rompak berkumpulan

scales of justice gavel
Tertuduh, Muhamad Khairul Mohamed Rafil, 32 dan Mazuan Mohd Nasir, 45, mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan melakukan rompakan berkumpulan. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis di sebuah pangsapuri pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Khairul Mohamed Rafil, 32 dan Mazuan Mohd Nasir, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu sebagai anggota polis dengan mengetahui mereka tidak berjawatan demikian.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Blok 51, Relau pada 11.24 malam, 16 Februari lalu dan dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan Hazarul Iqram Rozahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh namun kedua-duanya merayu jumlah itu dikurangkan.

Nadratun kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes ditangguh sehingga 26 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Di Mahkamah Sesyen pula, mereka turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di tempat dan waktu yang sama.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta iaitu sebuah Iphone 11 Pro Max dan sebuah beg silang milik Muhammad Anas Rosli, 31 dan sebuah Iphone 13 Pro Max milik Siti Noor Asmat Hamzah,27.

Dakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu saksi pendakwaan serta mangsa dan perlu melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis terdekat.

Kedua-dua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan sebelum hakim menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan.

Kes ditangguhkan sehingga 6 April depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Author: admin