Exco Terengganu didakwa esok

macc sprm
Adun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman, semalam.

PETALING JAYA: Exco Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kedudukan akan dituduh esok.

SPRM sudah mendapatkan keizinan daripada pendakwa raya untuk mendakwa Adun itu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 9 pagi, lapor Berita Harian.

Semalam, media melaporkan suspek lelaki berusia 60-an ditahan kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Sumber berkata, suspek ditahan pada 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman, dan siasatan awal mendapati dia disyaki melakukan perbuatan itu pada 2018 dan 2020.

Suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai exco dan pengerusi lembaga pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua anak syarikat kerajaan negeri.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Author: admin