
PETALING JAYA: Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gabungan itu perlu diperkukuhkan segera dengan struktur dan gerak kerjanya ditambah baik.
Beliau yang juga naib presiden PAS berkata, langkah itu perlu untuk menjadikan PN nukleus harapan rakyat.
Katanya, beliau juga akan berbincang dengan Majlis Tertinggi (MT) PN bagi melantik calon mengisi kekosongan jawatan dalam gabungan itu.
Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua presiden parti komponen dan MT PN atas kepercayaan serta amanah yang diberikan kepadanya untuk mengetuai PN.
“Tanggungjawab baharu ini amatlah besar, berat dan mencabar, terutamanya dalam suasana pengharapan tinggi diberikan pelbagai pihak dan rakyat kepada PN untuk menjadi muafakat politik mampu membawa perubahan lebih baik kepada rakyat pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosio ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin yang memimpin PN sejak penubuhannya serta MT sehingga mampu memenangi banyak kerusi pada PRU5.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Samsuri satu-satunya nama yang dicalonkan untuk menerajui PN.
Pelantikan itu menyusul peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.
