
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor terus menekankan kepentingan pendidikan sebagai teras pembentukan masyarakat berdaya tahan susulan kebimbangan terhadap peningkatan kadar jenayah, khususnya kes bunuh membabitkan ahli keluarga sendiri.
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata perubahan landskap sosial dan tekanan era digital menuntut peranan institusi pendidikan lebih menyeluruh bagi membina keseimbangan antara jati diri, nilai kemanusiaan dan keterhubungan global.
“Sebahagian individu berdepan kecenderungan mengasingkan diri dalam konteks masyarakat yang semakin terhubung secara digital, sekali gus mewujudkan jurang kefahaman, empati dan nilai dalam hubungan sosial.
“Antara perkara penting ingin saya tekankan ialah usaha kita untuk terus menghubungkan dalam dunia semakin terhubung,” katanya dalam Majlis Pertukaran Dokumen Program Pendidikan dan Pelancaran Modul Elites Tingkatan Enam sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor Bersama Komuniti Pendidik Selangor di sini.
Amirudin yang juga exco pendidikan negeri berkata, beberapa kes pembunuhan membabitkan ahli keluarga sendiri dilaporkan baru-baru ini membuktikan akses kepada maklumat semata-mata tidak menjamin kebijaksanaan, kematangan emosi atau keupayaan membuat pertimbangan beretika.
“Kita hidup dalam ‘dunia terhubung’ (connected world), iaitu segalanya berada di hujung jari, namun tetap wujud jurang. Kita pada masa yang sama mula memilih untuk memisahkan diri. Akses kepada maklumat tidak semestinya menjadikan kita pandai atau bijak.
“Sebab itu anak-anak perlu dididik, pelajar universiti perlu terus dilatih dan generasi muda perlu dipandu dari sudut akademik, kemanusiaan serta nilai-nilai kehidupan. Jika tidak, mereka akan menjadi masyarakat rapuh yang perlu berdepan realiti seperti hari ini yang menunjukkan pelbagai perkara di luar jangkaan dan batas logik.”
Mengulas kegelisahan dalam kalangan generasi muda, beliau berkata, perubahan cara berfikir, interaksi sosial dan gaya hidup akibat pengaruh media sosial memerlukan pendekatan pendidikan lebih holistik, termasuk pembangunan sahsiah, literasi digital dan pengukuhan nilai murni.
Katanya, pendidikan kekal kunci kemajuan, perpaduan dan masa depan negeri, justeru semua pihak berkepentingan perlu digembleng secara bersepadu bagi memastikan kualiti pendidikan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat.
Terdahulu, Amirudin menyaksikan pertukaran dokumen nota persefahaman antara Yayasan Selangor dengan TYMBA Education, DHS Hospitality Academy, ATC College, Taleem (M) Sdn Bhd dan TPIS Almotahida dengan visi memastikan pendidikan (kurikulum dan latihan) sedia ada sejajar keperluan pasaran kerja serta perkembangan teknologi semasa.
Menurutnya, kolaborasi itu berpotensi membuka lebih banyak peluang pendedahan, termasuk aspek pendedahan bidang industri kepada pelajar, memperluas program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), selain sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bimbingan kerjaya.
