
PETALING JAYA: Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara berjaya meraih beberapa anugerah utama dalam pertandingan World Youth STEM Invention and Innovation 2026 di Bangkok, Thailand pada awal bulan ini.
Aarthisha Thiban, Aatheesha Moorthy, Keshwine Elattachan, Arvin Kumar dan Puraarni Vivegan memenangi “Gold Award”, “Panel Choice Award” serta pengiktirafan Top 5 bagi kategori ‘Environmental & Sustainability’ dalam pertandingan yang menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara.
Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan, berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan luar biasa pelajar Malaysia dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Malah, ia mencerminkan tahap disiplin, ketekunan dan daya saing tinggi dalam kalangan pelajar kita,” katanya dalam catatan Facebooknya sambil mengucapkan tahniah kepada pelajar dan sekolah terbabit.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan generasi muda negara memiliki bakat besar dan potensi bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah manifestasi hasil sokongan padu dan komitmen berterusan para guru serta ibu bapa dalam memperkasa bakat dan potensi generasi muda.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar lebih banyak inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, selaras aspirasi kita untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya cipta tinggi.”
