Kelab Penyokong Kerajaan beri amaran usah cetus ketidaktentuan politik menjelang kongres DAP

zaliha mustafa
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dr Zaliha Mustafa mahu komponen kerajaan perpaduan kekal komited dan mengekalkan disiplin.

PETALING JAYA: Sebarang tindakan boleh menimbulkan ketidaktentuan politik akan menjejaskan reformasi sedang berjalan dan menghakis keyakinan pelabur, kata Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) susulan kongres khas DAP yang dirancang untuk mengkaji semula peranannya dalam kerajaan.

Pengerusi BBC, Dr Zaliha Mustafa, berkata tanggungjawab kolektif, kestabilan politik dan kesinambungan dasar perlu diutamakan semasa mentadbir negara.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua rakan komponen dalam kerajaan Madani terus memperkukuh komitmen bersama, mengekalkan disiplin dan memastikan mandat rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Keutamaan kita mesti jelas dan konsisten untuk terus memperkukuhkan institusi Parlimen, melaksanakan reformasi secara bertanggungjawab serta memelihara kestabilan politik demi kemaslahatan rakyat dan masa depan negara,” kata bekas menteri persekutuan itu dalam kenyataan.

Dua hari lalu, DAP dilaporkan berkata, ia akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai nanti untuk memutuskan sama ada pemimpin parti itu perlu melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan perpaduan sambil terus menyokongnya di Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata 4,000 perwakilan akan mengundi sama ada pemimpin DAP perlu meletak jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, exco, ahli majlis tempatan dan dilantik GLC.

Pengumuman Loke berhubung kongres khas itu menyusul kira-kira dua bulan selepas beliau berkata DAP akan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan reformasi dalam enam bulan akan datang susulan kekalahan parti itu dan Pakatan Harapan dalam PRN Sabah.

DAP tewas semua lapan kerusi yang ditandinginya dalam PRN Sabah tahun lalu.

Zaliha berkata, Parlimen sedang dan akan terus mengutamakan beberapa rang undang-undang (RUU) “strategik” serta reformasi perundangan.

Tegasnya, Anwar sedang mempercepatkan pembentangan RUU had tempoh jawatan perdana menteri perdana menteri kepada dua penggal.

Undang-undang yang dicadangkan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini. RUU memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya juga akan dibentangkan pada hari sama.

“Ini membuktikan agenda perubahan sedang diterjemahkan melalui saluran Perlembagaan dan proses Parlimen yang sah, bukan sekadar naratif politik.”

Author: admin