
PETALING JAYA: Seramai 10 individu ditahan semasa himpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (Garah) merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan polis atas dakwaan penahanan secara salah.
Tindakan itu juga diambil susulan dakwaan mereka ditahan secara kasar pada perhimpunan di perkarangan pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur, 7 Feb lalu.
Peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili mereka berkata notis tuntutan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Kerajaan akan diberikan tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan notis itu untuk memberikan maklum balas rasmi dan menyatakan pendirian mereka sebelum tindakan mahkamah difailkan,” katanya dalam kenyataan.
Zainul Rijal berkata antara tuntutan anak guamnya adalah pengisytiharan penahanan mereka tidak sah selain ganti rugi am, khas dan teladan.
“Ganti rugi teruk memandangkan dan kos serta relif lanjut yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” katanya.
Pada hari himpunan, kira-kira 20 individu termasuk penganjur dan bakal peserta himpunan ditahan bagi membantu siasatan.
Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis awal keesokan harinya.
Garah sebelum ini menyatakan perhimpunan itu bertujuan mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu rumah ibadat yang didakwa didirikan tanpa kelulusan di tanah awam atau persendirian.
