
PETALING JAYA: Menteri belia dan sukan Indonesia, Erick Thohir, menafikan dakwaan beliau membuat aduan kepada FIFA berhubung kelayakan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menjawab dakwaan itu oleh sebuah portal berita Malaysia, Erick yang juga presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia berkata tiada manfaat untuk beliau untuk berbuat demikian.

“Sudah pastinya tidak benar. Buat apa kita mahu campur tangan dengan kemajuan negara lain. Kalau bola sepak kita tidak meningkat, kita terus kalah kepada pasukan dari Eropah dan Amerika Latin,” katanya yang dipetik Kompas.com sebagai berkata.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Fifa pada September lalu kerana didakwa mengemukakan dokumen dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain sebelum aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada Jun.
Satu jawatankuasa bebas yang menyiasat kes itu berkata ia tidak dapat menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen berkenaan.
Polis turut membuka siasatan sendiri berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tersebut.
FAM didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain masing-masing didenda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Tujuh pemain itu adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Fifa turut menolak rayuan FAM terhadap sekatan itu, mendorong persatuan tersebut membawa kes berkenaan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
CAS kemudiannya membenarkan hukuman terhadap semua pemain ditangguhkan, sekali gus membolehkan mereka meneruskan kerjaya dan menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan pada 26 Feb.
Jawatankuasa eksekutif FAM meletak jawatan pada 28 Jan bagi memberi ruang kepada Fifa dan Konfederasi Bola Sepak Asia untuk menilai, menyemak dan menangani secara bebas isu tadbir urus, pentadbiran serta prosedur dalam FAM.
