
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 16 orang maut manakala beberapa yang lain dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan selepas satu letupan gas bahan api menyebabkan sebuah bangunan kediaman runtuh di selatan Pakistan pada Khamis, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pasukan penyelamat, dengan bantuan jentera berat dan alat pemotong berusaha menyelamatkan lebih ramai mangsa yang dipercayai masih hidup dan terperangkap dalam runtuhan bangunan di Bandaraya Karachi itu, kata pegawai penyelamat Omair Khan beberapa jam selepas letupan berlaku.
Wanita dan kanak-kanak antara yang maut dalam letupan yang berlaku ketika persiapan untuk juadah sahur pada hari pertama Ramadan, katanya.
Sekurang-kurangnya 14 mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital utama di bandar itu, kata doktor Jabbar Kanwar.
“Operasi menyelamat berjalan perlahan disebabkan kawasan kejiranan yang sesak, jalan sempit dan infrastruktur yang berselerak,” kata pegawai polis Bakhat Zaman.
Karachi, sebuah metropolis Pakistan dengan anggaran penduduk melebihi 20 juta orang, sering terdedah kepada bencana industri dan kemalangan akibat kualiti infrastruktur yang lemah, pengelakan undang-undang keselamatan bangunan serta kawasan setinggan yang padat.
Bulan lepas, satu kebakaran memusnahkan sebuah pusat beli-belah bertingkat tanpa laluan keluar yang sesuai, menyebabkan hampir 90 orang terperangkap dan maut.
