
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Siasatan itu dibuat susulan beberapa aduan yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah, sehingga dijangka memberi implikasi kepada kerajaan.
Menurut sumber, berdasarkan aduan serta dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian itu daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Feb lepas.
Menurutnya, kes itu turut melibatkan isu ketirisan dana kerajaan membabitkan peruntukan besar berjumlah RM1.1 bilion.
“Berdasarkan maklumat awal, cadangan perjanjian itu dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), namun ia tetap dimeterai secara tergesa-gesa,” katanya.
Sumber berkata, perkara itu akan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama yang terlibat dalam proses rundingan dan kelulusan perjanjian itu.
Pada masa sama, beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan kanan dalam syarikat terbabit selepas meninggalkan kementerian, sekali gus menimbulkan persoalan konflik kepentingan yang wajar diberi perhatian.
SPRM dijangka memanggil beberapa saksi termasuk ketua setiausaha kementerian terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan perjanjian itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pembukaan kertas siasatan itu, namun enggan mengulas lanjut.
