
PETALING JAYA: Ketua-ketua Sayap Bersekutu Bersatu Wilayah Persekutuan mengisytiharkan bubar serta-merta, mengikut jejak beberapa bahagian lain parti itu susulan pemecatan Hamzah Zainudin dan sekumpulan pemimpin lain.
Tindakan ini diumumkan oleh Ketua Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan Simon Suresh V dalam kenyataan bersama lapan lagi ketua bahagian Bersekutu Wilayah Persekutuan, termasuk Simon Loi Teck Ong (Bukit Bintang); Baskaran Muniandy (Bandar Tun Razak); Nalendran Muniandy (Putrajaya) dan Gangarderan Raja (Titiwangsa).
Kenyataan itu turut ditandatangani Moana Rao (Cheras); Meshach Varunamegam (Batu); Jegatheeswaran Supaiya (Segambut) dan Parthiban Muniandy (Lembah Pantai).
Selain itu, mereka sebulat suara meletak semua jawatan disandang dalam parti, serta turut keluar parti, lapor Sinar Harian.
Simon Suresh, yang juga ketua Sayap Bersekutu Setiawangsa berkata, keputusan tersebut dibuat dengan rela hati, secara kolektif, tanpa sebarang desakan daripada mana mana individu mahupun kumpulan luar.
“Kami percaya sejarah akan menilai siapa yang benar-benar mempertahankan prinsip dan siapa yang hanya mempertahankan jawatan.”
Dalam pada itu, mereka mengecam tindakan Bersatu memecat Hamzah, iaitu bekas timbalan presiden, yang disifatkan sebagai tidak adil, tidak berhemah serta mencerminkan kegagalan pengurusan krisis dalaman parti.
Mereka meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara presiden parti Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Azmin Ali, serta Pengerusi Lembaga Disiplin Radzi Manan mengendalikan isu itu.
“Proses yang berlaku jelas memperlihatkan ketidakmatangan politik dan ketakutan berhadapan cabaran dalaman secara demokratik,” menurut kenyataan itu.
“Tindakan memecat timbalan presiden serta mana-mana pimpinan yang menyatakan sokongan kepada beliau hanyalah membuktikan betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan Muhyiddin dalam mengurus perbezaan pandangan.
“(Tindakan ini) menggambarkan kepimpinan yang terdesak dan takut kehilangan sokongan majoriti besar akar umbi yang berdiri teguh bersama Hamzah,” katanya.
Menurut sembilan ketua sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan itu, pada peringkat akar umbi, suara yang mahukan perubahan dan keadilan semakin kuat dan tidak boleh lagi disenyapkan melalui tindakan disiplin yang selektif.
“Kepimpinan yang kukuh seharusnya mengutamakan musyawarah, keterbukaan dan demokrasi bukan tindakan keras yang bertujuan melemahkan pencabar politik,” katanya.
